Semakin hari semakin kerap kita mendengar dan membaca cerita orang yang menjadi mangsa dalam kes penipuan atau scammer ketika ini. Ramai rakyat Malaysia yang juga terlibat menjadi dalang dan tidak kurangnya juga menjadi mangsa scam pinjaman.
Geram juga apabila mangsa scam pinjaman ini merupakan golongan yang bekerja bersungguh-sungguh, menghadapi cabaran kewangan dan ingin mendapatkan pinjaman, tidak diduga pula ditipu oleh scammer yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan haram ini.
Jangan ingat bahawa ini hanya berlaku kepada orang lain, perkara ini juga boleh berlaku kepada diri kita sendiri. Sekiranya kita tidak berhati-hati kita boleh mengalami kerugian beribu-ribu ringgit. Diharapkan panduan ini boleh membantu kita semua dan orang tersayang menjadi lebih berwaspada untuk mengelak dari menjadi mangsa penipuan seterusnya.
ENAM TANDA PENIPUAN PINJAMAN PERIBADI
1. Tawaran Hebat Yang Tidak Masuk Akal
Ini adalah salah satu taktik yang digunakan oleh scammer untuk menarik lebih banyak mangsa ke dalam perangkap penipu. Jangan mudah terpikat oleh tawaran seperti kadar faedah 0% atau 100% jaminan lulus tanpa memahami ciri-ciri tawaran tersebut dengan sepenuhnya.
2. Syarat Kelulusan Yang Terlalu Mudah dan Cepat
Scammer pinjaman selalunya memberi kriteria kelulusan yang rendah untuk kelulusan pinjaman supaya mereka boleh meneruskan ke proses seterusnya untuk meminta bayaran daripada mangsa dalam masa yang singkat. Scammer akan membuat lakonan (pemeriksaan kredit dan pemprosesan dokumen) dan meminta dokumen-dokumen yang biasanya diperlukan untuk membuat permohonan pinjaman. Selepas itu, kelulusan akan diberitahu tanpa pertanyaan selanjutnya terhadap dokumen-dokumen yang telah diminta.
3. Tidak Perlu Menandatangani Perjanjian Pinjaman Wang (Jadual J) di Bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951
Jika anda membuat pinjaman dari syarikat pinjaman berlesen (juga dikenali sebagai Kredit Komuniti) yang sah, peminjam adalah diwajibkan untuk menandatangani Perjanjian Pinjaman dalam format yang ditentukan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Hanya satu format Perjanjian Pinjaman Wang (Jadual J) di Bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang ditentukan oleh KPKT sahaja boleh diterima.
4. Maklumat Syarikat Pinjaman Tidak Lengkap atau Tidak Jelas
Scammer suka menyamar sebagai pihak bank atau pihak Kredit Komuniti untuk meyakinkan mangsa semasa menjalankan proses penipuan. Untuk memastikan anda adalah berurusan dengan pihak atau agen syarikat yang sah, anda dinasihatkan untuk memeriksa latar belakang syarikat pinjaman dengan nama syarikat yang diberi di Google. Buat panggilan ke syarikat tersebut dengan nombor telefon yang ditunjukkan di laman web syarikat tersebut untuk mengesahkan nama pihak atau agen mereka. Untuk pengesahan syarikat Kredit Komuniti, anda boleh semak jika mereka memiliki lesen yang dikeluarkan oleh KPKT dengan Aplikasi Telefon Bimbit "i-KrediKom" yang disediakan oleh KPKT. Hanya syarikat Kredit Komuniti yang sah akan disenaraikan dalam aplikasi ini dengan alamat perniagaan dan nombor telefon mereka.
5. Beri Tekanan atau Ugutan Kepada Pemohon Untuk Membuat Tindakan Segera
Jangan mudah tertipu oleh taktik "FOMO (Fear of Missing Out)" yang memberi tekanan kepada pemohon dengan tawaran hebat sensitif masa seperti "Tawaran ini akan berakhir hari ini" atau "Kelulusan pinjaman yang sah untuk 2 jam sahaja". Sekiranya, anda berasa tertekan, abaikan sahaja tawaran tersebut. Jangan sesekali mengikuti permintaan dan berurusan dengan pihak yang memberi ugutan jika anda ingin membatalkan permohonan pinjaman. Kebiasaannya, mereka akan mengugut untuk mengambil tindakan mahkamah, viralkan kad pengenalan, memufliskan nama dan sebagainya. Segera sekatkan (Report & Block) nombor pengugut tersebut supaya anda tidak diganggu lagi dan membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan.
6. Minta Bayaran Pendahuluan Sebelum Pengeluaran Wang Pinjaman (INI YANG MENTAKRIFKAN SEGALA-GALANYA)
JANGAN BAYAR! Walaupun anda yakin bahawa pihak yang berurusan dengan anda adalah bukan penipu, tidak salah jika semua kecurigaan timbul sebaik sahaja mereka meminta bayaran pendahuluan. Scammer akan memberi alasan bahawa ini adalah prosedur syarikat mereka (syarikat lain, prosedur lain) untuk meminta wang pendahuluan sebelum pengeluaran wang untuk apa-apa jua tujuan seperti fi perjanjian, yuran pemprosesan, duti setem, cukai, wang jaminan dan sebagainya. JANGAN BAYAR! Ini adalah prosedur syarikat scammer. Selepas bayaran pertama, akan ada bayaran kedua yang lebih tinggi dan seterusnya. Mangsa tidak akan menerima wang pinjaman. Setelah anda berpisah dengan wang anda, kuasa ada di tangan mereka. JANGAN BAYAR! Ingat: Bayaran Pendahuluan = Scammer.
Sekiranya anda membuat permohonan pinjaman melalui agensi atau platform perkhidmatan kewangan, semak terlebih dahulu jika mereka mengenakan caj untuk perkhidmatan yang diberi. Platform atau agensi pinjaman yang sah tidak akan mengenakan sebarang caj terhadap peminjam untuk perkhidmatan mereka. Walaupun untuk bayaran duti setem yang dikenakan, bayaran ini biasanya akan ditolak dari pengeluaran wang pinjaman. Periksa atau sahkan terlebih dahulu dengan sumber-sumber lain yang ada sekiranya anda rasa kurang pasti dengan pihak yang anda berurusan.